PENYERANG Pahang, Mohd. Azamuddin Akil (dua dari kiri) bergambar bersama peminat dan Piala Malaysia di rumahnya di Kampung Desa Cemerlang Relong di Kuala Lipis, Pahang, semalam.


KUALA LIPIS - Penduduk Kampung Desa Cemerlang Relong, di sini berpeluang menyaksikan Piala Malaysia dengan lebih dekat apabila penyerang skuad Tok Gajah, Mohammad Azamuddin Akil yang merupakan anak jati kampung tersebut akan membawa pulang piala kebanggaan rakyat Pahang itu pada majlis kenduri yang bakal diadakan, esok.

Majlis tersebut dibuat khusus sebagai meraikan kejayaan pasukan Pahang dan juga Azamuddin yang dikenali sebagai Alex membantu skuad Tok Gajah menewaskan Kelantan 1-0 pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Shah Alam, Selangor, 3 November lalu.

Ketua Kampung tersebut, Ishak Mohamad berkata, piala berkenaan kini telah pun berada di rumah Azamuddin dan dipamerkan untuk tontonan peminat setia pasukan Tok Gajah di daerah ini.
"Piala ini akan diarak ke setiap kampung dan dipamerkan kepada penduduk Kuala Lipis sempena program tahunan kenduri kampung ini.

"Selain itu, kita juga akan meraikan kejayaan Azamuddin yang juga anak jati kampung ini apabila dia dipilih sebagai pemain terbaik skuad Tok Gajah. Malah, dia juga menjadi kebanggaan kami kerana turut berjaya menyarung jersi skuad kebangsaan," katanya kepada pemberita di sini, kelmarin.
Menurutnya, antara aktiviti yang akan diadakan pada majlis kenduri-kendara itu ialah Azamuddin bakal diarak bersama Piala Malaysia, selain penduduk setempat berpeluang untuk beramah-mesra dengan pemain tersebut.

Ishak berkata, pihaknya juga akan mengadakan majlis tahlil dan kenduri kesyukuran melibatkan semua penduduk kampung berkenaan.
Sehubungan itu, Ishak mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) kerana sudi membenarkan Piala Malaysia berada di Kampung Desa Cemerlang Relong buat seketika bagi memberi peluang kepada peminat Tok Gajah di kampung berkenaan untuk turut sama meraikan kejayaan skuad bola sepak Pahang.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131129/su_09/Alex-rai-kejayaan-bersama-penduduk-Kampung-Relong#ixzz2m2EuABQ6
© Utusan Melayu (M) Bhd 

0 komen:

Post a Comment

sila la komen

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...